Tuesday, February 9, 2010

Cikgu Hamzah Sebagai Sumber Inspirasi

Coretan ini adalah khusus ditujukan kepada Cikgu Hamzah Shafiee, satu masa dulu pernah menjadi guru Geografi di SMS Kedah, sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Mohd Jiwa, di Sungai Petani.

Sebagai seorang pelajar yang mendapat peluang belajar di sekolah berasrama penuh, dan berasal dari kampung, saya tidak mempunyai sebarang visi yang jelas arah tuju pembelajaran. Sekadar belajar dan ingin mencapai keputusan yang baik.

Sungguh pun begitu, suasana pembelajaran di sekolah berasrama penuh membolehkan saya menjadi lebih berdisiplin, dan berpeluang pula bergaul dengan rakan-rakan yang cemerlang. Lebih istimewa lagi adalah kerana dorongan daripada guru-guru yang mungkin secara tidak sedar menjadikan saya mencapai kejayaan di sekolah.

Cikgu Hamzah sebagai contoh, mungkin tidak sedar tentang sumbangan besar kepada hidup saya. Sebenarnya, apa yang saya tuliskan ini adalah sebagai mengenang jasa khusus cikgu dalam menjadikan saya berjaya hingga melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

Satu masa dulu, cikgu suka sekali berkongsi gambar-gambar slaid pengalaman cikgu semasa di Australia. Semasa itu, saya amat suka dengan kehidupan cikgu bersama rakan-rakan Mat Saleh dan berpeluang pula bermain salji. Gambar-gambar yang ditayangkan itulah menjadi punca saya bersemangat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Saya tetapkan sasaran untuk belajar hingga dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara, tidak kira samada di Australia, UK atau USA. Alhamdullillah, cita-cita tersebut tercapai, dan semuanya bermula kerana saya melihat slaid yang cikgu tayangkan. Bahkan saya sendiri pun telah mengumpulkan beberapa slaid peribadi, dan saya gunakan pula untuk tayangkan kepada keluarga saya di Malaysia. Apa yang dilakukan kerana saya ingin mengikuti langkah cikgu.

Tetapi, zaman sekarang sudah berubah. Slaid tidak lagi digunakan. Perhubungan kita semakin mudah melalui Internet, dan gambar-gambar kita boleh dikongsi dengan mudah.

Sekali lagi, saya merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada cikgu kerana menayangkan slaid berkenaan, dan membuka minda saya untuk mengikuti jejak langkah cikgu untuk belajar hingga ke luar negeri. Alhamdullillah, sekarang saya sudah dapat berhubung semula dengan cikgu dan dapat meluahkan ucapan terima kasih ini.

No comments:

Post a Comment