Thursday, January 28, 2010

Pengalaman di Klinik 1 Malaysia

Buat pertama kali saya menjengah Klinik 1 Malaysia di Bandar Seri Iskandar, Perak. Lokasinya sesuai, dan berikut adalah pengalaman saya untuk dikongsi bersama.

Dengan bayaran hanya RM1 untuk mendapatkan perkhidmatan, sememangnya perkhidmatan Klinik 1Malaysia jauh lebih baik daripada mana-mana klinik swasta di kawasan ini. Pertamanya, klinik itu lengkap dengan kemudahan yang jauh lebih baik daripada klinik swasta. Misalnya alat penyukat tekanan darah pun lebih canggih daripada alat yang digunakan oleh Klinik swasta. Ada juga disediakan kemudahan mesin penimbang, untuk membolehkan pengunjung membuat ukuran sendiri.

Perkhidmatan yang diberikan juga adalah setanding dengan klinik swasta, bahkan pegawai yang menerima pelanggan bukannya calang-calang staf, sebaliknya adalah jururawat yang berpengalaman.

Pada waktu saya sampai, lebihkurang 8.30 malam cuma dua orang pelanggan saja yang ada. Ertinya masa menunggu pun lebih singkat.

Bagi kes saya yang perlukan rawatan susulan, doktor telah menjadualkan semula waktu-waktu untuk saya berjumpa semula. Saya amat gembira kerana kali ini setiap kali berjumpa, cajnya adalah cukup kecil. Kalaulah Klinik swasta, tentunya setiap kali berjumpa saya akan dikenakan caj yang tinggi.

Sesuatu yang baik perlu diberikan pujian. Tahniah kepada Klinik 1Malaysia, Seri Iskandar.

No comments:

Post a Comment